Friday, June 27, 2008

Curahan Cinta Niagara




Judul: CURAHAN CINTA NIAGARA
Penulis: MAYA IRIS
ISBN: 978-983-3604-82-1
Penerbit: PTS Millennia Sdn. Bhd.
Harga: RM 26.00 (Sem. Malaysia) / RM 29.00 (Sabah/Sarawak)
Ketebalan: 564 halaman
Cetakan pertama: 2007
Cetakan kedua: 2008


"Aku dekat, Kau dekat."

Air Terjun Niagara. Mendengarkan nama itu sahaja semua tahu akan keindahannya yang cukup memukau. Allah Maha Besar. Sederas curahan air terjun itulah Allah limpahkan pelbagai nikmat dan kesenangan agar manusia insaf dan tahu mensyukuri rahmat yang dikurniakan.

Percikan air dingin Niagara membawa pembaca menjelajah jauh ke Amerika Syarikat ketika watak utamanya mula melanjutkan pelajaran di New York. Arus kemodenan Negara Dunia Pertama itu mampu menggugah iman cucu-cicit Adam yang lemah sehingga mereka hanyut dalam arus gelombang duniawi yang tidak pernah menjanjikan sebarang balasan.

Mira Zahila, gadis kampung yang malang terpaksa akur dengan liku-liku kehidupan yang kelam sejak kecil. Dia melalui jalan penuh sukar, membesar dengan pelbagai dugaaan, namun dia tetap tabah menghadapi setiap cabaran itu kerana dia yakin, Allah sedang menguji keteguhan iman hamba-Nya.

Sorotan pejalanan hidup Mira berubah setelah dia dipertemukan dengan Faris, anak hartawan yang gemar menghabiskan masa berfoya-foya dengan wanita yang bukan mahramnya tanpa menghiraukan batasan agama.

Faris jatuh hati pada Mira, dan kerana itu dia berubah. Dia bersungguh-sungguh memenangi hati gadis itu sehingga sanggup menggunakan kekerasan. Kasihan melihat nasib Faris yang lumpuh akibat kemalangan, Mira sanggup mengahwini lelaki itu, walaupun dia sedia maklum Faris menghidapi HIV hasil daripada pergaulan sosial tanpa batasan.

Bahagia yang diharapkan dalam melayari kehidupan berumah tangga hanya tinggal impian yang tidak kesampaian. Sikap Faris berubah setelah mendirikan rumah tangga. Tidak cukup dengan itu, Mira terpaksa berhadapan dengan kebencian ibu mertuanya, Datin Faridah yang tidak merestui ikatan perkahwinannya dengan Faris.

Watak Farhan (abang kepada Faris) yang begis dan tegas muncul antara Faris dan Mira. Hakikatnya dalam diam lelaki itu sebenarnya telah jatuh cinta pandang pertama pada Mira sewaktu mereka sama-sama mengunjungi Air Terjun Niagara suatu masa dulu. Farhan hanya mampu memendam rasa apabila Faris terlebih dahulu menagih kasih Mira.

Ketika ajal hampir datang menjemput Faris, lelaki itu mewasiatkan Mira kepada Farhan, seterusnya membuka peluang untuk Farhan mendapatkan kasih Mira. Mereka disatukan juga dalam keadaan terpaksa, sedangkan Mira tidak dapat menerima huluran kasih Farhan. Ketika mereka sedang berusaha mencari sinar bahagia, muncul pula orang ketiga menggugat kebahagian yang baru hendak berputik.

Dalam setiap konflik yang dipersembahkan, Maya Iris menyajikan karya yang sarat dengan nilai Islami, disampaikan dengan pengertian yang cukup mendalam beserta nasihat dan motivasi. Membaca Curahan Cinta Niagara mampu melenyapkan persepsi negatif tentang alam perkahwinan. Elemen psikologi kekeluargaan yang diselitkan dalam karya ini menjadikan ia sebuah karya yang punya jiwa, sarat dengan pengajaran dan kepentingan untuk menguatkan rohani melalui kefahaman Islam sebenar.

SNFS

2 comments:

Diyanah

bessss...
byk pengajaran yg sy dpt.... bkn ckp sembarangan, siap hadis n alQuran .. :)

-violette-nur arina

best citer ni..saya dah baca..
memang best la

  © Blogger template 'TotuliPink' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP