Monday, July 14, 2008

MEKAR SAKURA DI MIMBAR CINTA




Judul: MEKAR SAKURA DI MIMBAR CINTA

Penulis: ILHAM HAMDANI

ISBN: 978-983-3603-82-4

Penerbit: PTS Millennia Sdn. Bhd.

Harga: RM 15.50 (Sem. Malaysia) / RM 18.50 (Sabah/Sarawak)

Ketebalan: 181 halaman

Cetakan pertama: 2007


Sorotan mata tertancap pada ranting-ranting bunga sakura yang sedang mekar, refleksi tasik membiru, menimbulkan satu sensasi yang menenangkan jiwa. Bangkit, teringatkan betapa murninya cinta Yang Maha Satu.

Mekar Sakura di Mimbar Cinta - Antalogi cerpen karya Ilham Hamdani yang pernah tersiar di beberapa akhbar utama Malaysia dan majalah keluaran tempatan dihimpunkan menjadi satu koleksi yang berjaya melahirkan kelainan dalam dimensi cinta kepada Tuhan.

Ketakjuban penulis terhadap budaya Negara Matahari Terbit, jelas terpancar dalam karya ini kerana kebanyakan latar penceritaannya berkisar mengenai watak yang menganuti budaya Jepun. Inti pati karyanya lebih menjurus kepada perjuangan dalam menyebarkan Islam dalam bentuk yang cukup halus.

Permulaan dalam setiap bab begitu meruntun minat pembaca. Ilham Hamdani bijak mengadun unsur Islami dalam karyanya hingga ia mampu membuai perasaan pembaca dengan keindahan kata-katanya hingga meresap setiap impian yang tersirat di dalamnya.

Skop yang diperluas dengan babak yang tidak terikat dengan satu isu, lalu membuka falsafah Islam dalam setiap klimaks antaranya, pengorbanan Maisarah untuk berkongsi kasih Thilmisani bagi membimbing saudara baru, Eriko dan kebimbangan Thilmi terhadap Saya kerana perbezaan pegangan agama dan budaya ketika gadis itu menawar cintanya.

“Cinta kami berputik dari bunga-bunga Islam. Dan, harap saya hanya satu, kelak berbuah jujuh dengan zuriat soleh dan solehah. Sungguh-sungguh, cinta ini kami baja dengan Islam dan mengairi dengan iman...” (Cinta Maisarah Sufiah)

Menuju Rumah Cinta Mu - Sudah berada di pasaran





Mereka kembar seiras yang berkongsi segala. Namun mereka berjanji tidak akan berkongsi cinta, biarpun nuansa cinta mereka serupa. Namun saat janji itu dicerobohi, kembarnya tumpas dan dunia Wajja gelap. Wajja membuang diri ke Jakarta, dibuang jauh ayahnya sendiri. Wajja membina janji baru. Janji tidak akan pulang lagi ke asalnya. Wajja bercampur dengan anak-anak jalanan, cuba membina hidup dalam segala kepayahan. Namun, seseorang yang pernah direbutkan cintanya itu tiba-tiba muncul. Mahu membawanya pulang kepada ayah yang membuangnya. Juga pulang bagi menuju ke rumah cinta-Nya. Tetapi mampukah Wajja sekali lagi menceroboh janjinya?

Ingin Aku Menggapai Mu - Sudah berada di pasaran



Ketika masih memiliki hubungan yang dekat dengan Mahendra, Ratih yakin Mahendralah jodohnya. Bahkan ketika Mahendra mengalami kecelakaan hingga menyebabkan kakinya lumpuh, Ratih masih mempercayai keyakinannya itu. Segala rintangan sedia untuk dia hadapi.

Namun, keyakinan itu perlahan mulai pudar. Ternyata, mencari pasangan hidup bukanlah sebuah persoalan yang mudah untuk diselesaikan. Terutamanya ketika pernikahan itu demi memperoleh kebahagiaan tidak semata-mata di dunia ini, tetapi juga di akhirat kelak.

Novel ini akan membawa pembaca ke dalam keping-keping peristiwa yang dialami Ratih dalam menemukan tidak hanya pasangan hidup, melainkan juga kematangan peribadi dan iman.

“....tidak hanya menghantar petualangan spiritual yang indah, juga dengan dialog yang mudah namun puitis, khas gaya bercerita Nurhayati. Sangat mengasyikkan!”

- Bambang Sukmawijaya, penulis di DDB Worldwide Indonesia

Kutemu Dikau Dalam Setiap Tahajud KU - Cover Baru



Kini berwajah baru :-)

Tuesday, July 8, 2008

WARKAH CINTA BERBAU SYURGA





Judul: WARKAH CINTA BERBAU SYURGA

Penulis: A. UBAIDILLAH ALIAS

ISBN: 978-983-3603-91-6

Penerbit: PTS Millennia Sdn. Bhd.

Harga: RM 23.50 (Sem. Malaysia) / RM 26.50 (Sabah/Sarawak)

Ketebalan: 457 halaman

Cetakan pertama: 2008



“Aku akan terus menulis walaupun kutahu salam daripada warkah bisumu semakin menjauhi realiti. Tetapi aku tidak mampu hentikan semua ini melainkan kematian sahaja yang dapat memisahkan jiwaku daripadamu. Dan aku tahu, kematianku makin menghampiri...”

Cinta seorang lelaki yang ditagih dua gadis. Hebat sangatkah Amir Mukhlis hingga dia sanggup mengecewakan impian Wardah dan menolak harapan Balqis.

Tidak! dia adalah lelaki yang berpendirian. Dia sangat tegas dalam soal hati dan perasaan dan tidak mahu ada di antara mereka hanyut dibuai badai perasaan yang mampu memesongkan akidah manusia.

Amir Mukhlis, seorang penulis dan pemidato. Pertemuannya dengan Wardah berlangsung ketika mereka sama-sama menyertai sidang redaksi majalah sekolah. Pada ketika itu, Wardah turut terkesan dengan perubahan yang dibawa Amir terhadap dirinya.

Wardah Abdul Latif, gadis pintar dan berperawakan menarik, sering menjadi igauan pelajar-pelajar lelaki. Di sebalik personaliti yang memukau, gadis ini sebenarnya menyimpan rahsia kemelut keluarga hingga persepsi negatifnya terhadap kaum Adam bercambah dalam diam. Dia membenci lelaki yang tidak bertanggungjawab dan jahil. Wardah perlukan seorang teman lelaki yang memahami agama dan bertanggungjawab. Kehadiran Amir Mukhlis mengubah segalanya.

Tamat persekolahan menengah. Amir melanjutkan pelajaran ke Universiti Al-Azhar, terpisah dengan watak Wardah yang terpaksa berkahwin dengan lelaki bukan pilihannya. Amir tidak mahu dirinya tenggelam dalam kekecewaan yang mampu memakan diri sendiri. Dia pasrah. Dia reda. Bayangan Wardah dilepaskan. Tetapi hidup Wardah tidak bahagia, dia diseksa suami sehingga menghembuskan nafas terakhir.

Watak Balqis yang buntu dalam menyelesaikan masalah pula muncul dalam hidup Amir di Kaherah. Secara tidak sengaja lelaki itu membantu merungkai masalah si gadis. Ketika itu Balqis melihat Amir sebagai lelaki matang yang mampu membimbing dirinya dan Balqis sedar naluri wanitanya sudah terusik ketika itu.

Izzuddin, teman baik Amir di universiti. Konflik mula tercetus ketika Izzuddin turut menyimpan perasaan terhadap Balqis. Izzuddin sedar bahawa sudah dua kali Amir menyelamatkan Balqis, tetapi teman di sekeliling menganggap Izzuddin sebagai hero sebenar, tidak ada sesiapa yang mengetahui cerita sebenar dan Amir pula senang dengan situasi begitu.

Balqis akhirnya menzahirkan perasaannya terhadap Amir menerusi surat, tetapi Izzuddin yang terlebih dahulu membuka warkah itu tanpa pengetahuan Amir, menyebabkan hatinya sebal dengan luahan perasaan Balqis terhadap Amir. Amir pula tidak mengerti mengapa sahabatnya itu tiba-tiba menjauhkan diri darinya, seakan-akan benci melihat wajahnya. Pada masa yang sama Amir tidak mengerti isyarat yang ditunjukkan Balqis. Balqis kecewa.

Sesungguhnya Allah itu Maha Mengetahui. Amir disahkan menghidap penyakit barah otak dan tidak mampu meneruskan hidup lebih lama. Ketika itu fikirannya ingin menyelesaikan masalah antara dia dan Izzuddin. Dalam kepayahan itu, Amir berusaha dan terus bangkit menyelesaikan konflik persahabatan dan perasaannya.

“Balqis, jangan mengharapkan sesuatu daripada ana. Ana bukan orang yang dapat menemani enti dalam kehidupan ini. Pasti ada orang lain yang lebih layak. Jika enti mahu memilih, pilihlah orang lain. Bukan ana...”

Amir merupakan seorang pejuang dalam hidupnya, seorang sahabat yang sejati dan khalifah yang hebat di muka bumi Allah. Hingga ke saat-saat akhir dia masih berjuang untuk menyempurnakan misi hidupnya dan tidak meletakkan kematian sebagai alasan untuk berputus asa.

A. Ubaidillah Alias menggunakan latar penceritaan yang menarik dengan penggunaan bahasa yang indah disulami puisi yang mampu menyentuh naluri pembaca. Keteguhan prinsip Amir Mukhlis perlu dicontohi remaja masa kini agar tidak tenggelam dalam arus kontemporari yang mengkhayalkan.

  © Blogger template 'TotuliPink' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP