Monday, July 14, 2008

MEKAR SAKURA DI MIMBAR CINTA




Judul: MEKAR SAKURA DI MIMBAR CINTA

Penulis: ILHAM HAMDANI

ISBN: 978-983-3603-82-4

Penerbit: PTS Millennia Sdn. Bhd.

Harga: RM 15.50 (Sem. Malaysia) / RM 18.50 (Sabah/Sarawak)

Ketebalan: 181 halaman

Cetakan pertama: 2007


Sorotan mata tertancap pada ranting-ranting bunga sakura yang sedang mekar, refleksi tasik membiru, menimbulkan satu sensasi yang menenangkan jiwa. Bangkit, teringatkan betapa murninya cinta Yang Maha Satu.

Mekar Sakura di Mimbar Cinta - Antalogi cerpen karya Ilham Hamdani yang pernah tersiar di beberapa akhbar utama Malaysia dan majalah keluaran tempatan dihimpunkan menjadi satu koleksi yang berjaya melahirkan kelainan dalam dimensi cinta kepada Tuhan.

Ketakjuban penulis terhadap budaya Negara Matahari Terbit, jelas terpancar dalam karya ini kerana kebanyakan latar penceritaannya berkisar mengenai watak yang menganuti budaya Jepun. Inti pati karyanya lebih menjurus kepada perjuangan dalam menyebarkan Islam dalam bentuk yang cukup halus.

Permulaan dalam setiap bab begitu meruntun minat pembaca. Ilham Hamdani bijak mengadun unsur Islami dalam karyanya hingga ia mampu membuai perasaan pembaca dengan keindahan kata-katanya hingga meresap setiap impian yang tersirat di dalamnya.

Skop yang diperluas dengan babak yang tidak terikat dengan satu isu, lalu membuka falsafah Islam dalam setiap klimaks antaranya, pengorbanan Maisarah untuk berkongsi kasih Thilmisani bagi membimbing saudara baru, Eriko dan kebimbangan Thilmi terhadap Saya kerana perbezaan pegangan agama dan budaya ketika gadis itu menawar cintanya.

“Cinta kami berputik dari bunga-bunga Islam. Dan, harap saya hanya satu, kelak berbuah jujuh dengan zuriat soleh dan solehah. Sungguh-sungguh, cinta ini kami baja dengan Islam dan mengairi dengan iman...” (Cinta Maisarah Sufiah)

Menuju Rumah Cinta Mu - Sudah berada di pasaran


Ulasan akan menyusul

Ingin Aku Menggapai Mu - Sudah berada di pasaran



Ulasan akan menyusul

Kutemu Dikau Dalam Setiap Tahajud KU - Cover Baru



Kini berwajah baru :-)

Tuesday, July 8, 2008

WARKAH CINTA BERBAU SYURGA





Judul: WARKAH CINTA BERBAU SYURGA

Penulis: A. UBAIDILLAH ALIAS

ISBN: 978-983-3603-91-6

Penerbit: PTS Millennia Sdn. Bhd.

Harga: RM 23.50 (Sem. Malaysia) / RM 26.50 (Sabah/Sarawak)

Ketebalan: 457 halaman

Cetakan pertama: 2008



“Aku akan terus menulis walaupun kutahu salam daripada warkah bisumu semakin menjauhi realiti. Tetapi aku tidak mampu hentikan semua ini melainkan kematian sahaja yang dapat memisahkan jiwaku daripadamu. Dan aku tahu, kematianku makin menghampiri...”

Cinta seorang lelaki yang ditagih dua gadis. Hebat sangatkah Amir Mukhlis hingga dia sanggup mengecewakan impian Wardah dan menolak harapan Balqis.

Tidak! dia adalah lelaki yang berpendirian. Dia sangat tegas dalam soal hati dan perasaan dan tidak mahu ada di antara mereka hanyut dibuai badai perasaan yang mampu memesongkan akidah manusia.

Amir Mukhlis, seorang penulis dan pemidato. Pertemuannya dengan Wardah berlangsung ketika mereka sama-sama menyertai sidang redaksi majalah sekolah. Pada ketika itu, Wardah turut terkesan dengan perubahan yang dibawa Amir terhadap dirinya.

Wardah Abdul Latif, gadis pintar dan berperawakan menarik, sering menjadi igauan pelajar-pelajar lelaki. Di sebalik personaliti yang memukau, gadis ini sebenarnya menyimpan rahsia kemelut keluarga hingga persepsi negatifnya terhadap kaum Adam bercambah dalam diam. Dia membenci lelaki yang tidak bertanggungjawab dan jahil. Wardah perlukan seorang teman lelaki yang memahami agama dan bertanggungjawab. Kehadiran Amir Mukhlis mengubah segalanya.

Tamat persekolahan menengah. Amir melanjutkan pelajaran ke Universiti Al-Azhar, terpisah dengan watak Wardah yang terpaksa berkahwin dengan lelaki bukan pilihannya. Amir tidak mahu dirinya tenggelam dalam kekecewaan yang mampu memakan diri sendiri. Dia pasrah. Dia reda. Bayangan Wardah dilepaskan. Tetapi hidup Wardah tidak bahagia, dia diseksa suami sehingga menghembuskan nafas terakhir.

Watak Balqis yang buntu dalam menyelesaikan masalah pula muncul dalam hidup Amir di Kaherah. Secara tidak sengaja lelaki itu membantu merungkai masalah si gadis. Ketika itu Balqis melihat Amir sebagai lelaki matang yang mampu membimbing dirinya dan Balqis sedar naluri wanitanya sudah terusik ketika itu.

Izzuddin, teman baik Amir di universiti. Konflik mula tercetus ketika Izzuddin turut menyimpan perasaan terhadap Balqis. Izzuddin sedar bahawa sudah dua kali Amir menyelamatkan Balqis, tetapi teman di sekeliling menganggap Izzuddin sebagai hero sebenar, tidak ada sesiapa yang mengetahui cerita sebenar dan Amir pula senang dengan situasi begitu.

Balqis akhirnya menzahirkan perasaannya terhadap Amir menerusi surat, tetapi Izzuddin yang terlebih dahulu membuka warkah itu tanpa pengetahuan Amir, menyebabkan hatinya sebal dengan luahan perasaan Balqis terhadap Amir. Amir pula tidak mengerti mengapa sahabatnya itu tiba-tiba menjauhkan diri darinya, seakan-akan benci melihat wajahnya. Pada masa yang sama Amir tidak mengerti isyarat yang ditunjukkan Balqis. Balqis kecewa.

Sesungguhnya Allah itu Maha Mengetahui. Amir disahkan menghidap penyakit barah otak dan tidak mampu meneruskan hidup lebih lama. Ketika itu fikirannya ingin menyelesaikan masalah antara dia dan Izzuddin. Dalam kepayahan itu, Amir berusaha dan terus bangkit menyelesaikan konflik persahabatan dan perasaannya.

“Balqis, jangan mengharapkan sesuatu daripada ana. Ana bukan orang yang dapat menemani enti dalam kehidupan ini. Pasti ada orang lain yang lebih layak. Jika enti mahu memilih, pilihlah orang lain. Bukan ana...”

Amir merupakan seorang pejuang dalam hidupnya, seorang sahabat yang sejati dan khalifah yang hebat di muka bumi Allah. Hingga ke saat-saat akhir dia masih berjuang untuk menyempurnakan misi hidupnya dan tidak meletakkan kematian sebagai alasan untuk berputus asa.

A. Ubaidillah Alias menggunakan latar penceritaan yang menarik dengan penggunaan bahasa yang indah disulami puisi yang mampu menyentuh naluri pembaca. Keteguhan prinsip Amir Mukhlis perlu dicontohi remaja masa kini agar tidak tenggelam dalam arus kontemporari yang mengkhayalkan.

Friday, June 27, 2008

Curahan Cinta Niagara




Judul: CURAHAN CINTA NIAGARA
Penulis: MAYA IRIS
ISBN: 978-983-3604-82-1
Penerbit: PTS Millennia Sdn. Bhd.
Harga: RM 26.00 (Sem. Malaysia) / RM 29.00 (Sabah/Sarawak)
Ketebalan: 564 halaman
Cetakan pertama: 2007
Cetakan kedua: 2008


"Aku dekat, Kau dekat."

Air Terjun Niagara. Mendengarkan nama itu sahaja semua tahu akan keindahannya yang cukup memukau. Allah Maha Besar. Sederas curahan air terjun itulah Allah limpahkan pelbagai nikmat dan kesenangan agar manusia insaf dan tahu mensyukuri rahmat yang dikurniakan.

Percikan air dingin Niagara membawa pembaca menjelajah jauh ke Amerika Syarikat ketika watak utamanya mula melanjutkan pelajaran di New York. Arus kemodenan Negara Dunia Pertama itu mampu menggugah iman cucu-cicit Adam yang lemah sehingga mereka hanyut dalam arus gelombang duniawi yang tidak pernah menjanjikan sebarang balasan.

Mira Zahila, gadis kampung yang malang terpaksa akur dengan liku-liku kehidupan yang kelam sejak kecil. Dia melalui jalan penuh sukar, membesar dengan pelbagai dugaaan, namun dia tetap tabah menghadapi setiap cabaran itu kerana dia yakin, Allah sedang menguji keteguhan iman hamba-Nya.

Sorotan pejalanan hidup Mira berubah setelah dia dipertemukan dengan Faris, anak hartawan yang gemar menghabiskan masa berfoya-foya dengan wanita yang bukan mahramnya tanpa menghiraukan batasan agama.

Faris jatuh hati pada Mira, dan kerana itu dia berubah. Dia bersungguh-sungguh memenangi hati gadis itu sehingga sanggup menggunakan kekerasan. Kasihan melihat nasib Faris yang lumpuh akibat kemalangan, Mira sanggup mengahwini lelaki itu, walaupun dia sedia maklum Faris menghidapi HIV hasil daripada pergaulan sosial tanpa batasan.

Bahagia yang diharapkan dalam melayari kehidupan berumah tangga hanya tinggal impian yang tidak kesampaian. Sikap Faris berubah setelah mendirikan rumah tangga. Tidak cukup dengan itu, Mira terpaksa berhadapan dengan kebencian ibu mertuanya, Datin Faridah yang tidak merestui ikatan perkahwinannya dengan Faris.

Watak Farhan (abang kepada Faris) yang begis dan tegas muncul antara Faris dan Mira. Hakikatnya dalam diam lelaki itu sebenarnya telah jatuh cinta pandang pertama pada Mira sewaktu mereka sama-sama mengunjungi Air Terjun Niagara suatu masa dulu. Farhan hanya mampu memendam rasa apabila Faris terlebih dahulu menagih kasih Mira.

Ketika ajal hampir datang menjemput Faris, lelaki itu mewasiatkan Mira kepada Farhan, seterusnya membuka peluang untuk Farhan mendapatkan kasih Mira. Mereka disatukan juga dalam keadaan terpaksa, sedangkan Mira tidak dapat menerima huluran kasih Farhan. Ketika mereka sedang berusaha mencari sinar bahagia, muncul pula orang ketiga menggugat kebahagian yang baru hendak berputik.

Dalam setiap konflik yang dipersembahkan, Maya Iris menyajikan karya yang sarat dengan nilai Islami, disampaikan dengan pengertian yang cukup mendalam beserta nasihat dan motivasi. Membaca Curahan Cinta Niagara mampu melenyapkan persepsi negatif tentang alam perkahwinan. Elemen psikologi kekeluargaan yang diselitkan dalam karya ini menjadikan ia sebuah karya yang punya jiwa, sarat dengan pengajaran dan kepentingan untuk menguatkan rohani melalui kefahaman Islam sebenar.

SNFS

Tuesday, June 24, 2008

Hidayah Cinta




Judul: HIDAYAH CINTA
Penulis: ILHAM HAMDANI
ISBN: 978-983-3604-71-5
Penerbit: PTS Millennia Sdn. Bhd.
Harga: RM 23.00 (Sem. Malaysia) / RM 26.00 (Sabah/Sarawak)
Ketebalan: 402 halaman
Cetakan pertama: 2008



Kasih sayang itu luas maknanya. Lantas mengapa ungkapan cinta itu sering disalah tafsir golongan ekstrimis cinta, hingga menjuruskan makna cinta hanya untuk satu erti sedangkan sinar itu sebenarnya hadir tanpa sempadan yang nyata.

Hidayah, anugerah cinta dan kasih sayang terulung dari al-Khaliq. Seindah maknanya, karya ini diwarnai dengan kasih sayang, tidak pula disempitkan definisinya kepada cinta sesama manusia semata-mata sebaliknya turut menyentuh aspek cinta kepada yang Maha Esa, kepada agama Allah, kepada Islam.

Pertama kali membaca Hidayah Cinta, pembaca akan tertarik dengan gaya penyampaian penulis dalam mengeksplorasi latar belakang negara matahari terbit, Jepun. Penulis berjaya menyisipkan pengalaman selama menetap di sana untuk dikongsi bersama pembaca. Kenangan terindah itu akhirnya menzahirkan keunikan dalam karyanya sehingga mampu membangkitkan daya imaginasi tersendiri kepada pembaca.

Penceritaan mengambil latar belakang geografi bumi Ibaraki, atau lebih tepatnya daerah Hitachi, sebuah kawasan di timur kota raya Tokyo. Letaknya bersempadan dengan laut, bukit-bukau yang hijau dan tasik membiru yang sesuai benar dijadikan seting prolog percintaan antara Umar Thilmisani dengan Takahashi Ayumi.

Pertemuan pertama, membibitkan perasaan benci yang menggunung dalam diri Takahashi Ayumi. Umar Thilmisani seperti sengaja mahu memalukan dia. 'Budaya yang diamalkan Thilmisani memang sesuatu yang kolot.' Itulah antara persepsi awal Ayumi tentang lelaki kacak itu. Tapi mengapa setiap kali hatinya menjerit benci, setiap kali itu jugalah wajah Thilmisani menerjah mindanya.

Akhirnya ucapan maaf dihulur dan perkenalan mereka menjadi akrab. Demi persahabatan yang baru bercambah, Thilmisani menghadiahkan kitab tafsir al-Quran kepada gadis itu. Kesungguhan Ayumi dalam mengenali Islam terserlah sehingga dia meluahkan perasaan cinta dan kasih terhadap Islam kepada Thilmisani.

Hidayah Cinta merungkai persoalan-persoalan yang berlegar dalam kehidupan seharian. Isu kesetiaan dalam persahabatan begitu jelas dinyatakan dalam watak Thilmisani. Kesanggupan Thilmisani mendermakan buah pinggangnya demi menyelamatkan nyawa sahabat karibnya memang mengharukan. Pengorbanan ini menjadikan dia model sahabat paling unggul.

Watak Ayumi pula mampu menyentuh naluri pembaca wanita. Dia seorang yang tulus, tidak membenci insan lain walaupun ada yang mencemburui kecintaan Thilmisani kepadanya. Hati wanitanya sungguh murni dan tidak pernah sedetik pun dia ingin membalas dendam, malah dia dengan sepenuh hati mendoakan insan yang membencinya agar selamat dan dilindungi Tuhan.

Dengan gambaran personaliti watak yang digarap penuh hemah, Ilham Hamdani berjaya mewujudkan sebuah karya Islami yang lengkap dengan rencah kehidupan dua budaya yang dipisahkan sempadan lautan. Penceritaannya juga santai dan mudah difahami sesuai untuk semua golongan pembaca, dalam masa yang sama ia mampu membuai perasaan hingga pembaca terbawa-bawa dengan watak dalam penceritaannya.

SNFS

Hanya Tuhan Yang Tahu




Sazali, insan cekal yang begitu setia dengan janjinya. Tidak hairanlah dia begitu setia pada cintanya. Rahayu, cinta pertama yang tidak mungkin dilupakan sepanjang hayat. Mereka menjalinkan hubungan cinta sejak di bangku sekolah lagi. Sazali, ibarat obor yang sentiasa membakar semangat Rahayu supaya bersungguh-sungguh dalam pelajaran. Walau bagaimanapun, cita-cita Rahayu mahu menjadi suri rumah apabila dewasa kelak membuatkannya tidak bersungguh-sungguh dalam pelajaran, termasuk peperiksaan SPM yang bakal menjelang. Akhirnya, Rahayu mendapat keputusan yang kurang baik dalam peperiksaan. Sazali berjaya melanjutkan pelajaran ke universiti manakala Rahayu hanya bekerja sebagai pembantu di kedai perabot milik sepupunya, Jazlan.

Sikap Rahayu berubah sejak bekerja di kedai perabot itu. Hubungan Rahayu dengan Jazlan juga kian rapat sejak Sazali melanjutkan pelajaran di universiti. Jazlan, lelaki yang mahu dijodohkan oleh ayah Rahayu dengan kakaknya, akhirnya menjadi suami Rahayu yang sah. Lebih menyentuh perasaan, tarikh perkahwinan Rahayu dan Jazlan sama dengan hari konvokesyen Sazali di universiti. Walaupun masih ada rindu yang bersarang, Sazali tetap datang pada majlis perkahwinan Rahayu bagi mengucapkan tahniah kepada cinta pertamanya.

Rahayu tetap bertahta di hati Sazali. Manusia hanya mampu merancang, Tuhan jua menentukannya... akhirnya wanita bertudung labuh yang pernah ditemui dalam mimpinya selepas melakukan solat istikharah, menjadi permaisurinya. Siapakah wanita yang berjaya membuka kembali pintu hati Sazali yang sudah terluka pada cinta pertamanya? Hanya Tuhan yang Tahu… jodoh pertemuan atas kehendak-Nya.

NW

Sunday, June 15, 2008

Kasidah-kasidah Cinta


Kasidah-kasidah Cinta adalah pembicaraan berkenaan cinta yang klasik. Cinta yang terhalang. Namun dalam novel ini, plotnya tidak semudah meneka warna pilihan anak perempuan kita yang comel. Plotnya biarpun mudah tetapi tetap sahaja memperdaya.

Dimulakan novel ini dengan menceritakan dengan teliti keindahan di desa Tempelsari. Dikisahkan desa ini umpama purnama yang terbentang di sebelah utara Pergunungan Kendeng. Di desa inilah tinggalnya Wiji yang rupawan, putri kepada ketua desa. Juga sangat tinggi pekertinya. Ilmu agamanya pula umpama matahari di atas Sahara. Bersinar memancar.

Manakala di sebelah selatan pergunungan Kendeng, ada desa Randualas, ia adalah sisi gelap pergunungan Kendeng. Desa yang asalnya tempat para pembunuh berkumpul lalu menjadi sebuah desa yang makmur. Di desa ini tinggalnya, Nugroho putra kepada ketua desa Randualas. Dikhabarkan wajahnya umpama tujuh petala langit, tetapi hatinya pula tujuh petala bumi.

Kuasa Tuhan, setiap sesuatu itu sudah berada dalam rancangannya. Begitu juga yang berlaku kepada Wiji dan Nugroho. Hanya kerana seekor kijang cantik, mereka bertemu. Hati lalu terpaut. Wiji terpaut hatinya kerana dia berfikiran yang warga desa Randualas itu gelap sebab tiada cahaya yang menyinari. Dia berazam mahu menyebar luaskan cahaya agama ke desa itu.

Nugroho pula terpaut kerana wajah Wiji yang rupawan. Cukup memukau. Lalu hati gelapnya luluh, perlahan-lahan. Dan kerana sebab itu dia rela berjumpa dengan Wiji, mendengar segala pengajaran agamanya.

Namun, kerana itu juga mereka disalah tafsir. Dianggap cuba mengkhianati desa masing-masing. Lebih parah, kejadian itu umpama percik api dari neraka yang membakar minyak kebencian yang sedia wujud sejak berzaman. Pertelingkahan terjadi. Wiji dan Nugroho pula tercampak jauh dari desa masing-masing.

Dengan rasa tanggungjawab yang tinggi mahu memperbetulkan keadaan, Wiji dan Nugroho nekad membuat satu tindakan yang drastik. Tindakan yang difikirkan mampu mengubah hala perhubungan kedua-dua desa itu.

Namun mereka hanya merancang tuhan juga yang menentukan.... Air mata tetap menjadi penutup novel ini di samping dengan jejak-jejak makna yang membekas dalam hati pembaca. Hayati dan rasailah sendiri denyut novel Kasidah-kasidah Cinta ini bagi memahami maksudnya yang terpendam.

Thursday, May 22, 2008

Novel: Zikir-zikir cinta (Ulasan kemas kini)



Novel ini, memberikan satu senyuman dalam seribu kerutan dahi. Ceritanya berkenaan dunia pondok yang bergelumang dengan kitab kuning dan juga cerita anak muda yang sedang membuak-buak cintanya. Semuanya kisah itu dijarut dengan mahir lalu membentuk novel Cinta Islami yang indah. Seindah hamparan bulan pada tanggal 15.

Semuanya bermula dari sebuah sekolah pondok di Indonesia. Rusli lelaki yang mencari kebahagiaan akhirat akhirnya bertemu pula dengan cinta dunia. Cintanya jatuh kepada puteri kiai pondok.

Cinta di pondok hanya dikira cinta sekiranya ia berlangsung dalam pernikahan. Namun, dalam dunia yang penuh mencabar ini, ada kepercayaan yang pernikahan itu bukan sekadar cinta dan kejujuran. Sedangkan Rusli pernah berkata, “Aku tidak punyai apa-apa, hanya cinta dan kejujuran.”

Dengan alasan mahu mencari selain cinta dan kejujuran Rusli berkelana ke kota. Namun apa yang diperolehnya adalah cinta sudah terbagi dua. Kini hatinya terpaut kepada puteri daripada keluarga Nasrani.

Lalu cinta yang terbagi ini bukan sekadar cinta tiga segi yang biasa. Di satu pihak puteri kiai yang pasti mampu menjamin kebahagiaan dunia dan akhirat. Di satu sisi lagi, puteri keluarga Nasrani yang sudah menjadi kewajipan Rusli sebagai Islam apatah lagi bekas pelajar pondok bagi menyuburkan Islam itu sendiri.

Harus bagaimana Rusli merawatkan cintanya yang sudah terbelah?

Monday, May 19, 2008

Novel : Dunia Belum Berakhir


“Demi mencicip kemanisan, kita perlu mengupas kepahitan.”



Itu kata-kata yang diperoleh daripada pembacaan novel ini. Mungkin ada yang berkata, itu hal yang biasa. Mana mungkin kejayaan boleh diperoleh tanpa usaha gigih dan pengorbanan.

Hal itu betul. Namun ia menjadi sesuatu yang luar biasa apabila kejayaan itu diperoleh oleh seseorang seperti Hamid. Anak sulung yang terpaksa membina hidup daripada kerusi roda. Dia terpaksa bertatih pada saat orang sudah berlari. Sepertinya cubaan hidup untuk Hamid belum lengkap, keluarganya terlalu jauh dari kesempurnaan.

Ayahnya tidak berfungsi sebagai ketua keluarga. Hanya ibunya yang menyambung hidup mereka sekeluarga dengan menjaja kuih. Namun, sedangkan burung phoenix bangkit daripada abunya, begitu juga Hamid.

Bagi Hamid, datanglah seribu badai sekalipun dia tetap tidak akan tumbang. Dia akan tetap melawan biar pun terpaksa bertongkatkan hati. Dunia baginya hanya akan berakhir sekiranya matanya sudap pejam tertutup. Selagi matanya celik, selagi dia masih gagah menyorong kerusi rodanya, selagi itulah dunia belum berakhir.

Ini hanya secebis kisah hidup yang boleh diambil daripada novel ini. Banyak lagi kisah pengorbanan yang boleh membuat kita berfikir tentang diri kita sendiri. Berfikir berkenaan upaya dan usaha kita untuk bangkit daripada abu kegagalan.

Thursday, May 15, 2008

Zikir-zikir Cinta - Akan datang


Untuk permulaan ini, cukup untuk diberitahu yang kisah cinta ini bermula di sebuah pasantren. Lalu kisah cinta yang bagaimana lagi yang perlu terjadi di pasantren? Ulasan lanjut akan menyusul apabila ia sudah berada di rak-rak kedai buku :-)

Tuesday, May 13, 2008

Salju Sakinah - Mampukah aku setabah Sumayyah...




Membaca testimoni pada awal muka surat, sudah cukup memberikan satu rasa, novel Salju Sakinah ini pasti luar biasa. Kerana rata-rata testimoni mengakui jiwa mereka peroleh sesuatu daripada pembacaan novel ini. Rasa yang halus, rasa yang berbahasa dalam bahasa Ilahi.

Ia bukan sekadar novel yang bisa dibawa ke perhentian bas, lalu dibaca semasa senggang waktu. Ia adalah novel yang bisa dibawa ke mana-mana kerana ia penuh dengan pengisian jiwa.

Namun, bagi yang belum pernah membaca, pasti tertanya-tanya. Novel ini berkenaan apa sehingga para pemberi testimoninya boleh dikatakan tersenyum kepuasan semasa menuliskan testimoni.

Ia adalah cerita, cerita hidup seorang perempuan bernama Sumayyah. Di mana rujukan hidupnya sudah dididik supaya berpandukan Quran dan hadis. Namun, Sumayyah juga perempuan biasa yang hidup dalam dunia yang punyai 1001 rencah. Sama ada ia dunia kecilnya yang dikelilingi teman-teman dan buku, sehingga menjangkau dunia yang lebih luas, permasalahan umat Islam yang ditindas.

Sumayyah yang digambarkan dalam novel ini cukup realistik kerana dia juga punyai sisi kekurangannya yang tersendiri. Daripada sisi kekurangan itulah dia bangkit dan daripada situlah emosi pembaca akan diajak belayar sehingga lepas jauh ke Jordan.

Tidak lengkap bagi sebuah kisah yang indah tanpa pengakhiran yang mampu memberikan senyuman dan air mata. Dan itulah yang terjadi dalam novel ini. Air mata dan senyuman bergabung membentuk satu persoalan pada diri pembaca... mampukah aku setabah Sumayyah?

Thursday, February 28, 2008

Tunnels-Terowong



Sinopsis
Tunnels, sebuah novel fantasi yang dikenali sebagai ‘The next Harry Potter’ di Britain. Mengisahkan seorang remaja yang menemui dunia yang hilang jauh di bawah perut bumi di kota London. Ia adalah salah satu karya best seller di Britain pada tahun lalu dan bakal difilemkan tidak lama lagi. Kini Tunnels telah di lesenkan untuk diterjemah ke dalam 34 bahasa asing.

Penulis karya yang pada asalnya diterbitkan dengan judul The Highfield Mole ini bijak memanipulasi bahasa melalui personafikasi dan diksi khususnya bagi mencipta elemen misteri, suasana tragis dan dramatik serta plot perumitan dan klimaks yang penuh emosi. Tunnels pasti dapat menawan hati remaja yang berusia 10 tahun ke atas terutama bagi mereka yang sukakan kisah pengembaraan yang mencabar dan misteri.

Adunan kisah realiti dan fantasi, Tunnels akan membawa kita menerokai dunia Will Burrows seorang remaja yang membesar dalam keluarga yang agak ganjil dan ‘tidak berfungsi’. Ibunya hanya menghabiskan masa di depan televisyen dan tidak mengendahkan keluarga. Segala tanggungjawab diambil alih oleh Rebecca, adik kepada Will. Bapanya, Dr. Burrows merupakan seorang ahli arkeologi yang bekerja di muzium yang sentiasa menyimpan cita-cita besar untuk menjadi terkenal dengan hasil-hasil penemuannya.

Keadaan rambut dan kulit Will yang kelihatan berlainan daripada orang lain menyebabkan dia disisihkan oleh kawan-kawannya. Sejak itu, Will sentiasa membantu ayahnya melakukan kajian tentang penggalian dan mencari bukti tamadun purba yang telah lama hilang di telan zaman. Ini membuatkan dia mula minat dalam bidang arkeologi hinggakan dia memiliki projek penggaliannya yang tersendiri.
Selepas ayahnya tiba-tiba menghilang, Will bersama Chester, satu-satunya kawan yang dia ada, mula meneroka jauh ke dalam tanah melalui terowong yang mereka gali demi mencari ayahnya. Perjalanan yang cukup bahaya dan mencabar. Dalam usaha pencariannya, Will mula menemui kebenaran yang tersembunyi. Segala rahsia yang ‘tertanam’ selama ini mula terbongkar.

Roderick Gordon and Brian Williams telah memperkenalkan sebuah kisah yang menakjubkan. TUNNELS menyajikan kisah yang padat dengan aksi, penuh misteri, cabaran, penerokaan, keadaan yang cukup bahaya dan menggerunkan. Variasi watak, daripada mengagumkan hinggalah menjijikkan disatukan untuk memikat pembaca dalam menelusuri kisah yang berselirat dengan kejutan dan rahsia. Gordon dan Williams memberikan gambaran yang cukup istimewa. Deskripsi yang penuh animasi membuatkan jalan ceritanya benar-benar hidup.

Komen Editor

Syahadat Cinta



Sinopsis
“Mahukah kamu menciumku?”

“Masya-Allah, kenapa?”

“Sebab ciuman adalah bukti kewujudan cinta. Kamu terpikat kepadaku kerana wajah ini, maka dia meminta bibirku untuk kamu cium. Jika hati yang membawa cintamu kepadaku, maka kamu pun harus mencium hatiku. Pilih mana?”

***

Itulah petikan perbualan antara Iqbal, tokoh utama dalam novel ini, dan Zaenab, gadis yang merupakan perwujudan dari jamaliah Ilahi. Sebagai pemuda metropolis, Iqbal berjuang mengakhiri masa lalunya yang kelam, dan secercah cahaya Ilahi memasuki relung-relung hatinya, dan membawanya ke alam pesantren. Tetapi ternyata, perjalanan ini memunculkan amuk pergolakan di dalam hatinya. Baru sahaja dia mulai belajar berwuduk, membaca al-Quran dan bersembahyang, tetapi dia terpelanting ke lembah perdebatan, yang pada lahirnya memang dengan sahabat-sahabat senterinya, tetapi pada hakikatnya adalah antara Iqbal dengan dirinya sendiri. Baginya, hatilah yang perlu mendapat cahaya Islam, menerangi jiwa. Iqbal berusaha memasuki Islam melalui jalur hatinya, dan ternyata jalur itu membawa bersama benih-benih cinta kepada Zaenab, seorang santeriwati di pesantren itu. Tetapi, masih ada dua gadis lain sedang menunggu cintanya: Priscillia, seorang gadis dari keluarga Kristian yang taat dan mendapat berbagai kekerasan dari keluarga dan sahabat-sahabatnya kerana telah memilih memasuki hidayah Islam; sedang gadis yang seorang lagi adalah pelajar sebuah SMA yang dipaksa menikahi orang yang tidak dicintainya, bahkan tidak dikenalnya. Iqbal justeru banyak belajar tentang keagungan Islam dari sebuah keluarga pengemis yang menumpangkannya di teratak mereka ketika dia lari dari pesantren kerana perseteruan-perseteruan fahaman agama yang sangat tajam.

Novel spiritual ini menjadi kesaksian (syahadat) perjalanan cinta seorang anak kota dalam tempias wajah Ilahiyah yang sarat aroma spiritual dan pertarungan ragam tradisi.

Komen Editor

Kepada Mu Aku Berserah



Sinopsis
Ketika ronda-ronda keliling Jakarta, tanpa sengaja Teja bertemu seorang gadis yang cukup mengusik hatinya. Namun, ada perkara lain yang membuatkan Teja tidak mampu melupakan gadis itu. Apakah rahsia yang gadis itu simpan hingga membuatkan matanya selalu kelihatan sayu? Lala… begitulah nama yang Teja berikan, memiliki rahsia yang membuatkan tatapannya sesekali nampak menerawang. Mampukah Teja mencungkil rahsia itu dan membantu Lala bangkit dari kedukaannya? Namun, untuk kembali bertemu Lala, Teja harus melalui jalan yang berliku. Jejak Lala seolah-olah lenyap begitu sahaja, bayangan trauma masa lalu terus menghantui. Semua rahsia itu hanya mampu terurai satu demi satu hanya bila mereka berserah kepada-Nya....

Komen Editor

Kutemu Dikau Dalam Setiap Tahajudku



Sinopsis
Kutemu Kau Dalam Setiap Tahajudku mengisahkan tentang Agus, anak muda yang suka berlumba motosikal telah jatuh hati kepada Airin teman sekolahnya sejak dari kecil. Dalam masa yang sama, Dewa yang merupakan teman sekuliah Airin kini turut mencintai Airin. Airin yang merupakan seorang gadis yang patuh pada ajaran Islam menginginkan seorang yang mampu membimbing dia dan keluarganya. Dia bukan mencari seorang kekasih tetapi 'imam' yang mampu memimpin keluarganya. Siapakah yang mampu merebut hati gadis manis ini? Bagaimana Dewa dan Agus bersaing untuk memiliki hati Airin?

Komen Editor

Edensor



Sinopsis
Edensor: sebuah gambaran dalam desa khayalan Kisah anak muda yang ingin mendaki puncak cabaran, menerjang batu granit kesulitan, menggoda marabahaya, dan memecahkan misteri dengan sains. Dia ingin menghirup pelbagai pengalaman lalu terjun bebas menyelami labyrinth liku-liku hidup yang hujungnya tak dapat disangka. Dia dambakan kehidupan dengan kemungkinan-kemungkinan yang bertentangan antara satu sama lain seperti perlanggaran molekul-molekul uranium: meletup tak terduga, menyerap, mengikat, berganda, berkembang, terurai, dan berserakan ke arah yang tak terduga. Dia ingin ke tempat-tempat yang jauh, menemui beragam-ragam bahasa dan berbagai-bagai bangsa. Mengembara, dan menemukan arah dengan membaca bintang-bintang di langit. Mengharungi padang dan gurun-gurun, melepuh dibakar matahari, terolang-aling dihentam angin, dan menciut dicengkam dingin. Impikan kehidupan yang menggetar dan penuh dengan penaklukan. Aku ingin hidup! Ingin merasakan sari pati hidup!!

Komen Editor

Sang Pemimpi



Sinopsis
"Tanpa mimpi orang seperti kita akan mati... Kita tidak akan mendahului nasib."

Sang Pemimpi adalah sebuah lantunan kisah kehidupan yang cukup mempesona dan nescaya akan berjaya membuat anda percaya tentang tenaga cinta, tentang kekuatan mimpi dan pengorbanan. Malah lebih dari itu akan membuat anda percaya kepada kekuasaan Tuhan. Andrea akan membawa anda berkelana dan menerobos sudut-sudut pemikiran hingga menemukan pandangan yang berbeza, malah luar biasa tentang nasib, tentang intelektual, kegembiraan yang meluap-luap, sekaligus kesedihan yang mengharu biru.

Andrea membawa anda mengembara pada kisah anak-anak Belitong yang cuba menperoleh pendidikan dengan pelbagai cabaran kehidupan yang cukup menyedihkan. Dimulai dengan kenakalan remaja yang kelihatan biasa, namun tanpa anda sedari, lambat laun watak-watak itu akan mengusai anda, membawa diri anda turut hanyut dalam gelombang hidup yang mengcengkam mereka.

Anda pasti tersenyum dengan humor halus yang bersahaja namun tersirat di dalamnya falsafah yang cukup rasional, erti perjuangan hidup dalam kemiskinan yang begitu membelit dan cita-cita yang cukup gagah yang di dukung oleh dua watak utama buku ini, Arai dan Ikal. Buku ini akan membuatkan anda merenung ke dalam diri sendiri dengan penuh pengharapan, menolak semua rasa putus asa dan tidak berdaya.

“Tanpa mimpi, orang seperti kita akan mati....”

“Kita tidak akan mendahului nasib!!!”

“Kita lakukan yang terbaik di sini!! Dan kita akan berkelana menjelajah Eropah sampai ke Afrika!! Kita akan belajar di Perancis!!....Apa pun yang terjadi!!”

Komen Editor

Laskar Pelangi



Sinopsis
Sebuah kisah keajaiban masa kecil 11 anggota Laskar Pelangi yang luar biasa dan menghiburkan. Pengembaraan anak-anak Melayu Belitong yang menyentuh dan sukar dilupakan. Kecintaan terhadap pendidikan, keunggulan nilai persahabatan dalam menempuh kesukaran hidup dan kemurnian prinsip menghiasi perjalanan Laskar Pelangi. Novel ini dipersembahkan untuk mereka yang meyakini the magic of childhood memories, dan untuk mereka yang masih percaya akan adanya pintu keajaiban lain untuk mengubah dunia pendidikan.

Pelbagai peristiwa menakjubkan terjadi pada zaman para anggota Laskar Pelangi masih kecil. Sebelas orang anak Melayu Belitong yang luar biasa ini tidak menyerah kalah walau keadaan tidak selalu menyebelahi mereka. Lintang, si miskin cilik yang genius dengan senang hati berbasikal berulang alik sejauh 20 kilometer untuk menuntut ilmu meskipun kadang-kadang hanya sempat menyanyikan lagu Padamu Negeri pada akhir waktu sekolah. Mahar, selain bersekolah dia turut memarut kelapa untuk biaya keluarganya adalah seniman yang imaginatif dan kreatif meskipun dia sering dipersendakan sahabat-sahabatnya. Tetapi dia berjaya mengangkat darjat sekolah Muhammadiyah di kampung mereka. Begitu juga kisah sembilan orang Laskar Pelangi lain yang bersemangat dalam menjalani kehidupan dan berjuang meraih cita-cita.

Novel ini menyelami kejujuran pemikiran, dan indahnya pengembaraan mereka. Anda akan tertawa, menangis dan tersentuh menghayati gelagat mereka. Novel ini dipersembahkan untuk mereka yang meyakini the magic of childhood memories, dan untuk mereka yang masih percaya akan adanya pintu keajaiban lain untuk mengubah dunia pendidikan.

Komen Editor

  © Blogger template 'TotuliPink' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP