Thursday, May 22, 2008

Novel: Zikir-zikir cinta (Ulasan kemas kini)



Novel ini, memberikan satu senyuman dalam seribu kerutan dahi. Ceritanya berkenaan dunia pondok yang bergelumang dengan kitab kuning dan juga cerita anak muda yang sedang membuak-buak cintanya. Semuanya kisah itu dijarut dengan mahir lalu membentuk novel Cinta Islami yang indah. Seindah hamparan bulan pada tanggal 15.

Semuanya bermula dari sebuah sekolah pondok di Indonesia. Rusli lelaki yang mencari kebahagiaan akhirat akhirnya bertemu pula dengan cinta dunia. Cintanya jatuh kepada puteri kiai pondok.

Cinta di pondok hanya dikira cinta sekiranya ia berlangsung dalam pernikahan. Namun, dalam dunia yang penuh mencabar ini, ada kepercayaan yang pernikahan itu bukan sekadar cinta dan kejujuran. Sedangkan Rusli pernah berkata, “Aku tidak punyai apa-apa, hanya cinta dan kejujuran.”

Dengan alasan mahu mencari selain cinta dan kejujuran Rusli berkelana ke kota. Namun apa yang diperolehnya adalah cinta sudah terbagi dua. Kini hatinya terpaut kepada puteri daripada keluarga Nasrani.

Lalu cinta yang terbagi ini bukan sekadar cinta tiga segi yang biasa. Di satu pihak puteri kiai yang pasti mampu menjamin kebahagiaan dunia dan akhirat. Di satu sisi lagi, puteri keluarga Nasrani yang sudah menjadi kewajipan Rusli sebagai Islam apatah lagi bekas pelajar pondok bagi menyuburkan Islam itu sendiri.

Harus bagaimana Rusli merawatkan cintanya yang sudah terbelah?

Monday, May 19, 2008

Novel : Dunia Belum Berakhir


“Demi mencicip kemanisan, kita perlu mengupas kepahitan.”



Itu kata-kata yang diperoleh daripada pembacaan novel ini. Mungkin ada yang berkata, itu hal yang biasa. Mana mungkin kejayaan boleh diperoleh tanpa usaha gigih dan pengorbanan.

Hal itu betul. Namun ia menjadi sesuatu yang luar biasa apabila kejayaan itu diperoleh oleh seseorang seperti Hamid. Anak sulung yang terpaksa membina hidup daripada kerusi roda. Dia terpaksa bertatih pada saat orang sudah berlari. Sepertinya cubaan hidup untuk Hamid belum lengkap, keluarganya terlalu jauh dari kesempurnaan.

Ayahnya tidak berfungsi sebagai ketua keluarga. Hanya ibunya yang menyambung hidup mereka sekeluarga dengan menjaja kuih. Namun, sedangkan burung phoenix bangkit daripada abunya, begitu juga Hamid.

Bagi Hamid, datanglah seribu badai sekalipun dia tetap tidak akan tumbang. Dia akan tetap melawan biar pun terpaksa bertongkatkan hati. Dunia baginya hanya akan berakhir sekiranya matanya sudap pejam tertutup. Selagi matanya celik, selagi dia masih gagah menyorong kerusi rodanya, selagi itulah dunia belum berakhir.

Ini hanya secebis kisah hidup yang boleh diambil daripada novel ini. Banyak lagi kisah pengorbanan yang boleh membuat kita berfikir tentang diri kita sendiri. Berfikir berkenaan upaya dan usaha kita untuk bangkit daripada abu kegagalan.

Thursday, May 15, 2008

Zikir-zikir Cinta - Akan datang


Untuk permulaan ini, cukup untuk diberitahu yang kisah cinta ini bermula di sebuah pasantren. Lalu kisah cinta yang bagaimana lagi yang perlu terjadi di pasantren? Ulasan lanjut akan menyusul apabila ia sudah berada di rak-rak kedai buku :-)

Tuesday, May 13, 2008

Salju Sakinah - Mampukah aku setabah Sumayyah...




Membaca testimoni pada awal muka surat, sudah cukup memberikan satu rasa, novel Salju Sakinah ini pasti luar biasa. Kerana rata-rata testimoni mengakui jiwa mereka peroleh sesuatu daripada pembacaan novel ini. Rasa yang halus, rasa yang berbahasa dalam bahasa Ilahi.

Ia bukan sekadar novel yang bisa dibawa ke perhentian bas, lalu dibaca semasa senggang waktu. Ia adalah novel yang bisa dibawa ke mana-mana kerana ia penuh dengan pengisian jiwa.

Namun, bagi yang belum pernah membaca, pasti tertanya-tanya. Novel ini berkenaan apa sehingga para pemberi testimoninya boleh dikatakan tersenyum kepuasan semasa menuliskan testimoni.

Ia adalah cerita, cerita hidup seorang perempuan bernama Sumayyah. Di mana rujukan hidupnya sudah dididik supaya berpandukan Quran dan hadis. Namun, Sumayyah juga perempuan biasa yang hidup dalam dunia yang punyai 1001 rencah. Sama ada ia dunia kecilnya yang dikelilingi teman-teman dan buku, sehingga menjangkau dunia yang lebih luas, permasalahan umat Islam yang ditindas.

Sumayyah yang digambarkan dalam novel ini cukup realistik kerana dia juga punyai sisi kekurangannya yang tersendiri. Daripada sisi kekurangan itulah dia bangkit dan daripada situlah emosi pembaca akan diajak belayar sehingga lepas jauh ke Jordan.

Tidak lengkap bagi sebuah kisah yang indah tanpa pengakhiran yang mampu memberikan senyuman dan air mata. Dan itulah yang terjadi dalam novel ini. Air mata dan senyuman bergabung membentuk satu persoalan pada diri pembaca... mampukah aku setabah Sumayyah?

  © Blogger template 'TotuliPink' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP