Hanya Tuhan Yang Tahu
Sazali, insan cekal yang begitu setia dengan janjinya. Tidak hairanlah dia begitu setia pada cintanya. Rahayu, cinta pertama yang tidak mungkin dilupakan sepanjang hayat. Mereka menjalinkan hubungan cinta sejak di bangku sekolah lagi. Sazali, ibarat obor yang sentiasa membakar semangat Rahayu supaya bersungguh-sungguh dalam pelajaran. Walau bagaimanapun, cita-cita Rahayu mahu menjadi suri rumah apabila dewasa kelak membuatkannya tidak bersungguh-sungguh dalam pelajaran, termasuk peperiksaan SPM yang bakal menjelang. Akhirnya, Rahayu mendapat keputusan yang kurang baik dalam peperiksaan. Sazali berjaya melanjutkan pelajaran ke universiti manakala Rahayu hanya bekerja sebagai pembantu di kedai perabot milik sepupunya, Jazlan.
Sikap Rahayu berubah sejak bekerja di kedai perabot itu. Hubungan Rahayu dengan Jazlan juga kian rapat sejak Sazali melanjutkan pelajaran di universiti. Jazlan, lelaki yang mahu dijodohkan oleh ayah Rahayu dengan kakaknya, akhirnya menjadi suami Rahayu yang sah. Lebih menyentuh perasaan, tarikh perkahwinan Rahayu dan Jazlan sama dengan hari konvokesyen Sazali di universiti. Walaupun masih ada rindu yang bersarang, Sazali tetap datang pada majlis perkahwinan Rahayu bagi mengucapkan tahniah kepada cinta pertamanya.
Rahayu tetap bertahta di hati Sazali. Manusia hanya mampu merancang, Tuhan jua menentukannya... akhirnya wanita bertudung labuh yang pernah ditemui dalam mimpinya selepas melakukan solat istikharah, menjadi permaisurinya. Siapakah wanita yang berjaya membuka kembali pintu hati Sazali yang sudah terluka pada cinta pertamanya? Hanya Tuhan yang Tahu… jodoh pertemuan atas kehendak-Nya.
NW
1 comments:
Sinopsis cerita dah gempak. Tak sabar nak baca...
Post a Comment