Sunday, June 15, 2008

Kasidah-kasidah Cinta


Kasidah-kasidah Cinta adalah pembicaraan berkenaan cinta yang klasik. Cinta yang terhalang. Namun dalam novel ini, plotnya tidak semudah meneka warna pilihan anak perempuan kita yang comel. Plotnya biarpun mudah tetapi tetap sahaja memperdaya.

Dimulakan novel ini dengan menceritakan dengan teliti keindahan di desa Tempelsari. Dikisahkan desa ini umpama purnama yang terbentang di sebelah utara Pergunungan Kendeng. Di desa inilah tinggalnya Wiji yang rupawan, putri kepada ketua desa. Juga sangat tinggi pekertinya. Ilmu agamanya pula umpama matahari di atas Sahara. Bersinar memancar.

Manakala di sebelah selatan pergunungan Kendeng, ada desa Randualas, ia adalah sisi gelap pergunungan Kendeng. Desa yang asalnya tempat para pembunuh berkumpul lalu menjadi sebuah desa yang makmur. Di desa ini tinggalnya, Nugroho putra kepada ketua desa Randualas. Dikhabarkan wajahnya umpama tujuh petala langit, tetapi hatinya pula tujuh petala bumi.

Kuasa Tuhan, setiap sesuatu itu sudah berada dalam rancangannya. Begitu juga yang berlaku kepada Wiji dan Nugroho. Hanya kerana seekor kijang cantik, mereka bertemu. Hati lalu terpaut. Wiji terpaut hatinya kerana dia berfikiran yang warga desa Randualas itu gelap sebab tiada cahaya yang menyinari. Dia berazam mahu menyebar luaskan cahaya agama ke desa itu.

Nugroho pula terpaut kerana wajah Wiji yang rupawan. Cukup memukau. Lalu hati gelapnya luluh, perlahan-lahan. Dan kerana sebab itu dia rela berjumpa dengan Wiji, mendengar segala pengajaran agamanya.

Namun, kerana itu juga mereka disalah tafsir. Dianggap cuba mengkhianati desa masing-masing. Lebih parah, kejadian itu umpama percik api dari neraka yang membakar minyak kebencian yang sedia wujud sejak berzaman. Pertelingkahan terjadi. Wiji dan Nugroho pula tercampak jauh dari desa masing-masing.

Dengan rasa tanggungjawab yang tinggi mahu memperbetulkan keadaan, Wiji dan Nugroho nekad membuat satu tindakan yang drastik. Tindakan yang difikirkan mampu mengubah hala perhubungan kedua-dua desa itu.

Namun mereka hanya merancang tuhan juga yang menentukan.... Air mata tetap menjadi penutup novel ini di samping dengan jejak-jejak makna yang membekas dalam hati pembaca. Hayati dan rasailah sendiri denyut novel Kasidah-kasidah Cinta ini bagi memahami maksudnya yang terpendam.

1 comments:

Seruling Senja

Penulis ini cuba mempersembahkan satu demensi baru mengenai cinta yang dibatasi nilai-nilai Islam. Cinta yang dilihat dari prespektif berbeza bersandarkan beberapa hujah yang dikemukakan oleh watak utama novel ini, Sriwiji yang merupakan anak ketua kampung yang mendapat pendidikan agama.
Walau bagaimanapun, keindahan ayat, bicara, susunan kata serta jalan cerita novel ini masih belum dapat menandingi novel-novel tulisan Habiburrahman el-Shirazy dan Tafiqurrahman al-Azizy. Novel ini patut dijadikan koleksi anda semua.

  © Blogger template 'TotuliPink' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP