Sunday, October 19, 2008

Surah-surah Rindu

Judul: Surah-surah Rindu
Penulis: Saridah Hamid
Cetakan Pertama: 2008
ISBN: 978-983-3604-19-7
Penerbit : PTS Millennia Sdn Bhd
Harga: Sem: RM24.00 Sem. Malaysia, RM27.00 Sabah & Sarawak
Tebal: 432 halaman
Pengulas: Mohd Roslan Md Isa

Surah-surah Rindu tulisan penulis tempatan Saridah Hamid mengangkat dan mempersembahkan alihan konsep kekeluargaan, persahabatan, akademik, cinta, perjuangan, intelektual, survival hidup, dan hukum hakam agama Islam. Penceritaan cerita dengan plot yang mengikut kronologi masa, tempat, emosi, konflik dan persoalan pelajar di institusi pengajian tinggi disusun kemas dan senang dibaca. Nilai tambah adalah apabila diselitkan terjemahan ayat Quran dan Hadis yang disampaikan bagi menerangkan situasi, menguatkan fakta dan bukan kerana tujuan mengarah serta menunjuk pandai.

Novel Islami

Novel yang dikenali sebagai novel Islami ini dipakej sebagai I-Novela. Bagi remaja yang mahu mengetahui konsep cinta dan perjuangan emosi remaja yang sebenar perlu mendapatkan rujukan yang tepat dan serasi dengan jiwa remaja mereka. Justeru itu, novel ini membawa sinar harapan beserta kilauan bintang terpilih yang mampu dijadikan medium perantaraan supaya remaja memahami aspek cinta dan jiwa remaja yang sebenar.


Watak Utama

Nurin Hannah, semasa kecil dirinya dilimpahi kasih sayang daripada ibu dan ayahnya. Meskipun dia sering dianggap berbeza daripada adik-beradiknya, tetapi dia tetap bahagia bersama ahli keluarganya. Dia diberi pendidikan sempurna dunia dan akhirat serta hidup sebagai muslimah sejati.

Fathi Nur Hakim adalah abang sulung Nurin yang berkulit sawo matang manakala lain pula bagi Nurin kerana si sunti itu berkulit putih dan memiliki sepasang mata yang sedikit sepet. Pelbagai kisah suka duka dikongsi mereka semasa kecil. Hubungan adik beradik ini rapat dan adakalnya apabila mereka mula meningkat awal remaja, Nurin akan memberontak apabila abangnya hanya bermain dengan rakan lelaki sahaja dan di ditinggalkan sendirian. Namun Nurin sering mengatasi abangnya seperti bermain gasing sehingga berpusing kepala abangnya memikirkan perangai adiknya yang agak bersifat lelaki.

Konflik dalaman Hannah mula memberontak apabila seorang demi seorang adiknya dilahirkan oleh ibunya memiliki kulit badan yang berbza daripanya. Namun segala persoalan itu dijawab kemas dan secara rahsia oleh ayah dan ibunya

Semasa menuntut di universiti, hatinya diketuk seorang jejaka yang terkenal di fakultinya. Ibunya sering berpesan memintanya supaya tidak menjalinkan cinta semasa sedang belajar. Dia akur dengan ingatan itu. Akhirnya, dia menerima salam persahabatan daripada jejaka itu selepas melakukan solat istikharah. Persahabatan itu dirahsiakan daripada warga kampus dan juga keluarga. Hanya sahabat karibnya, Liyana yang mengetahuinya.

Percintaan di kampus antara Hannah dan temannya terjalin baik dan mereka cuba mengelakkan perkara yang mendatangkan fitnah dan sering berjumpa apabila tugasan projek persatuan ataupun kelas dalam kumpulan yang besar. Elemen teknologi juga diterangkan bagi memggambarkan novel ini lain dan memang lari laju daripada novel tradisi yang lain. Teknik menjalinkan hubungan cinta yang murni dijelaskan melalui emel, sms dan Yahoo Messenger.


Namun, dilema gadis kacukan ini bermula apabila mengetahui hakikat sebenar identiti dirinya apabila usianya meningkat remaja. Dalam usaha mengenal peribadi diri dan keluarga. Hannah dikejutkan dengan berita yang dia secara tidak sengaja terjumpa surat yang sudah usang dan dapat mendedahkan peribadi Hannah. Apakah kandungan surat itu dan bagaimana dia mendepani situasi itu?

Kekuatan Novel

Nurin Hannah adalah sebahagian daripada kes kecil yang jarang didedahkan media dan diterokai penulis lain. Penulis ini berjaya mencipta karektor Nurin Hannah yang cekal, tabah, ceria dan unik. Gabungan ayat Quran dan Hadis yang diterangkan jelas dapat membantu masyarakat memahami hukum hakam Islam, antara yang dikupas adalah saranan Islam kepada wanita bagi memakai tudung dan disampelkan kepada watak Nurin Hannah. Lokasi bagi jalan cerita juga merakyatkan novel ini bagi membawa pembaca mengenali tempat-tempat bersejarah.

Personaliti Penulis

Saridah Hamid adalah anak jati Kuala Lumpur. Dilahirkan pada 9 Februari 1964. Bersekolah rendah di SR Jalan Bangsar, SM Sri Pantai, Kerinchi, KL dan Sek. Men. Methodist Boys School, Jalan Hang Jebat, Kuala Lumpur. Mendapat pendidikan terakhir di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam dalam bidang Media dan Komunikasi Massa (Kewartawanan). Pernah bertugas sebagai wartawan majalah dan akhbar tabloid. Juga terlibat sebagai penolong penerbit, Unit Ehwal Semasa TV, RTM. Kini bekerja secara bebas sebagai editor.

Mula menulis sejak 1990 dalam menghasilkan artikel di pelbagai majalah tempatan dan pada blog beliau, http://saridahamid-kuinginbicara.blogspot.com. Pernah menghasilkan buku adaptasi yang bertajuk, Selembut Bicara, Bahtera Nabi Nuh dan 10 Sahabat Yang Dijanjikan Syurga bersama PTS Islamika.

1 comments:

Unknown

Novel ini berfokus disegi nilai apa?

  © Blogger template 'TotuliPink' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP