Tuesday, June 24, 2008

Hidayah Cinta




Judul: HIDAYAH CINTA
Penulis: ILHAM HAMDANI
ISBN: 978-983-3604-71-5
Penerbit: PTS Millennia Sdn. Bhd.
Harga: RM 23.00 (Sem. Malaysia) / RM 26.00 (Sabah/Sarawak)
Ketebalan: 402 halaman
Cetakan pertama: 2008



Kasih sayang itu luas maknanya. Lantas mengapa ungkapan cinta itu sering disalah tafsir golongan ekstrimis cinta, hingga menjuruskan makna cinta hanya untuk satu erti sedangkan sinar itu sebenarnya hadir tanpa sempadan yang nyata.

Hidayah, anugerah cinta dan kasih sayang terulung dari al-Khaliq. Seindah maknanya, karya ini diwarnai dengan kasih sayang, tidak pula disempitkan definisinya kepada cinta sesama manusia semata-mata sebaliknya turut menyentuh aspek cinta kepada yang Maha Esa, kepada agama Allah, kepada Islam.

Pertama kali membaca Hidayah Cinta, pembaca akan tertarik dengan gaya penyampaian penulis dalam mengeksplorasi latar belakang negara matahari terbit, Jepun. Penulis berjaya menyisipkan pengalaman selama menetap di sana untuk dikongsi bersama pembaca. Kenangan terindah itu akhirnya menzahirkan keunikan dalam karyanya sehingga mampu membangkitkan daya imaginasi tersendiri kepada pembaca.

Penceritaan mengambil latar belakang geografi bumi Ibaraki, atau lebih tepatnya daerah Hitachi, sebuah kawasan di timur kota raya Tokyo. Letaknya bersempadan dengan laut, bukit-bukau yang hijau dan tasik membiru yang sesuai benar dijadikan seting prolog percintaan antara Umar Thilmisani dengan Takahashi Ayumi.

Pertemuan pertama, membibitkan perasaan benci yang menggunung dalam diri Takahashi Ayumi. Umar Thilmisani seperti sengaja mahu memalukan dia. 'Budaya yang diamalkan Thilmisani memang sesuatu yang kolot.' Itulah antara persepsi awal Ayumi tentang lelaki kacak itu. Tapi mengapa setiap kali hatinya menjerit benci, setiap kali itu jugalah wajah Thilmisani menerjah mindanya.

Akhirnya ucapan maaf dihulur dan perkenalan mereka menjadi akrab. Demi persahabatan yang baru bercambah, Thilmisani menghadiahkan kitab tafsir al-Quran kepada gadis itu. Kesungguhan Ayumi dalam mengenali Islam terserlah sehingga dia meluahkan perasaan cinta dan kasih terhadap Islam kepada Thilmisani.

Hidayah Cinta merungkai persoalan-persoalan yang berlegar dalam kehidupan seharian. Isu kesetiaan dalam persahabatan begitu jelas dinyatakan dalam watak Thilmisani. Kesanggupan Thilmisani mendermakan buah pinggangnya demi menyelamatkan nyawa sahabat karibnya memang mengharukan. Pengorbanan ini menjadikan dia model sahabat paling unggul.

Watak Ayumi pula mampu menyentuh naluri pembaca wanita. Dia seorang yang tulus, tidak membenci insan lain walaupun ada yang mencemburui kecintaan Thilmisani kepadanya. Hati wanitanya sungguh murni dan tidak pernah sedetik pun dia ingin membalas dendam, malah dia dengan sepenuh hati mendoakan insan yang membencinya agar selamat dan dilindungi Tuhan.

Dengan gambaran personaliti watak yang digarap penuh hemah, Ilham Hamdani berjaya mewujudkan sebuah karya Islami yang lengkap dengan rencah kehidupan dua budaya yang dipisahkan sempadan lautan. Penceritaannya juga santai dan mudah difahami sesuai untuk semua golongan pembaca, dalam masa yang sama ia mampu membuai perasaan hingga pembaca terbawa-bawa dengan watak dalam penceritaannya.

SNFS

1 comments:

Syaza Suraini

salam..
cerita ni seronok,
cuma kesalahan2 ejaan yg kadang2 mengspoilkan mood novel ni.
ape2hal, seronok bca.. :)

  © Blogger template 'TotuliPink' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP